Putrajaya: Kementerian Kesihatan sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa New Zealand bagi mengetahui perkembangan terkini produk susu yang disyaki tercemar dengan bakteria botulism.

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata belum ada ramuan formula Premix Infant atau formula follow-on dikesan mengandungi whey protein concentrate (WPC80) seperti dinyatakan sebelum ini.
“Justeru, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dan ikut arahan dikeluarkan, malah cuba elak menggunakan empat produk keluaran Dumex yang diumumkan syarikat terbabit sebelum ini.


“Kita memantau perkembangan ini dan berkomunikasi (dengan pihak berkuasa New Zealand) setiap hari. Rakyat perlu gunakan produk susu alternatif hingga maklumat seterusnya,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.

Terdahulu, beliau melawat kakitangan dan pesakit Hospital Putrajaya di sini, sempena sambutan Aidilfitri.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Subramaniam turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan, termasuk doktor dan jururawat yang berkhidmat pada Aidilfitri demi kepentingan rakyat.