Cik Normah kurang faham mengapa sesetengah orang terutama wanita tidak suka dedahkan usia sebenar mereka. Seolah-olah mendedahkan umur itu ibarat melanggar pantang larang.

Tak faham Cik Normah kenapa malu mendedahkan usia sedangkan umur hanyalah angka. Lagipun umur bukanlah pengukur kebahagiaan sesebuah rumah tangga.
Dalam hal ini, Cik Normah mengagumi pelakon drama Rosnah Mat Aris. Kak Ros tidak pernah malu bersuamikan lelaki muda walaupun jarak usia mereka berbelas tahun. Daripada cerita yang Cik Normah dengar, rumah tangga Kak Ros nampak bahagia dengan suami yang dikenali sebagai Blue itu.

Begitu juga dengan anak penyanyi Andy Flop Poppy yang baru-baru ini mengakui mencintai wanita lebih berusia darinya. Megat Daniel Azreen berusia 21 tahun, manakala kekasihnya pula berusia 34 tahun. Selamba saja Megat Daniel mendedahkan perkara itu tanpa rasa malu.

Jadi Cik Normah berasa pelik kenapa seorang artis ini sibuk sangat merahsiakan umur isterinya. Setiap kali ditanya berapa usia isterinya, si artis mengelak. Apa yang hendak dimalukan sehingga beriya-iya berdolak dalih soal umur?

Tapi melalui maklumat yang rakan-rakan Cik Normah risik daripada orang terdekat si artis, isterinya berusia 31 tahun manakala dia pula berusia 23 tahun. Mungkin si isteri malu barangkali kerana jarak usianya dengan artis itu berbeza lapan tahun.

Pada Cik Normah, kalau setakat lapan tahun buat apalah yang hendak dimalukan sangat. Sebaliknya dia kena rasa berbangga sebab menjadi pilihan pucuk muda. Tak gitu?