Putrajaya: Pejabat Peguam Negara mengesahkan menerima laporan bahawa beberapa pemimpin parti politik mengaitkan isu berkaitan perkauman dalam ceramah mereka sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Bagaimanapun, Ketua Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Abdul Wahab Mohamed, berkata beliau tidak dapat membuat sebarang kenyataan mengenainya buat masa sekarang kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.
Tambah beliau, pihaknya juga ada menerima aduan membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan beberapa isu termasuk mengenai dakwat kekal selain beberapa insiden ketika hari pengundian.

Setakat ini, 327 laporan polis diterima merangkumi aduan mengenai dakwat kekal yang mudah dibasuh selain isu pemerhati pilihan raya yang diarahkan keluar oleh Ketua Tempat Mengundi selama 30 minit selepas tamat tempoh mengundi dan sebelum pengiraan undi.

Pelbagai aduan

Selain itu, ada aduan membabitkan nama pengundi tersenarai semula selepas melakukan undi pos, pengundi hadir untuk mengundi sudah dipotong namanya sedangkan belum mengundi selain petugas SPR memangkah kertas undi sebelum diserah kepada pengundi untuk dimasukkan dalam peti undi, katanya pada satu sidang media, di sini semalam.

Dalam pada itu, kata Wahab, empat lelaki akan didakwa secara berasingan di tiga Mahkamah Majistret di Selangor hari ini kerana melakukan pelbagai kesalahan pada hari mengundi 5 Mei lalu.
Katanya, seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Teluk Datok kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menghalang penjawat awam (pegawai polis) daripada menjalankan tugas rasminya di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kah Wah, Kuala Langat pada jam 3.45 petang 5 Mei lalu.

Dua lagi lelaki akan didakwa di Mahkamah Majistret Klang kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan pada jam 5.09 petang 5 Mei lalu kerana mengambil bahagian dalam rusuhan dan memiliki batang besi serta topi keledar di Jalan Mesra, Pandamaran, Pelabuhan Klang.

Pecah cermin bas

Katanya, seorang lagi individu turut dihadapkan di mahkamah sama dan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin bas syarikat Cityliner Sdn Bhd kira-kira jam 5.09 petang 5 Mei lalu.

Mengulas perkembangan insiden letupan ketika kempen di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 23 April lalu, Wahab berkata tiada perkembangan baru sehingga sekarang dan kes itu masih dalam siasatan.

Katanya, setakat ini empat suspek ditahan bagi membantu siasatan tetapi semua mereka didapati tidak terbabit dalam insiden berkenaan.