Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan baru yang bakal diumumkan, hari ini dijangka menggalas tugas lebih besar dalam meneruskan kesinambungan dibawa oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini.

“Sudah pasti lebih besar (tugasan) kerana kita sudah mencapai banyak kejayaan di bawah Datuk Seri Shabery,” kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, semalam.
“Jadi (pencapaian) tentunya peminat sukan atau rakyat negara kita mahu melihat lebih banyak pencapaian apa lagi kita masih gagal memenangi pingat emas di Sukan Olimpik yang kita sasarkan ia mampu dicapai pada 2016.


Sukan SEA lancar

“Jadi harapan saya menteri yang baru ini dapat memberi sepenuh sokongan kepada apa yang kita laksanakan,” katanya.

Di bawah pentadbiran Ahmad Shabery, dunia sukan menerima pelbagai kejutan termasuk skuad bola sepak menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, meraih dan mempertahankan emas bola sepak Sukan SEA 2009 dan 2011.
Sementara itu, Zolkples berkata, hasil laporan awal diterima daripada wakil tinjauan ke Myanmar iaitu Pengarah Atlet Elit MSN, Ariffin Ghani mendapati persiapan Sukan SEA berjalan lancar.

“Setakat ini okey, dia ada jumpa dengan pegawai kedutaan kita dan dimaklumkan tidak ada perkara serius yang boleh membataskan penyertaan kita di sana,” kata Zolkples.