Peragut kena belasah Peragut diikat selepas cuba melarikan rantai leher seorang wanita di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan, semalam.
Kuantan: Seorang daripada dua lelaki yang cuba merentap rantai leher seorang wanita dibelasah suami mangsa sejurus suspek terjatuh dari motosikalnya dalam kejadian di Jalan Wong Ah Jang, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 10.05 pagi itu, seorang lagi rakan peragut bagaimanapun sempat melarikan diri, meninggalkan motosikal. Difahamkan, wanita berusia 40 tahun itu berjalan seorang diri untuk ke tempat kerjanya di sebuah syarikat percetakan sebelum diekori dua lelaki bermotosikal.
Timbalan Ketua Polis Kuantan, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata ketika menghampiri mangsa, seorang daripada peragut merentap rantai leher wanita itu yang kemudian terus menjerit meminta tolong.


“Suami mangsa yang juga bekerja di syarikat sama berhampiran tempat kejadian mendengar jeritan itu sebelum bersama rakan sekerjanya menyergah dua peragut terbabit. Ia menyebabkan motosikal dinaiki suspek hilang kawalan dan terjatuh sebelum seorang daripada penjenayah itu diberkas orang awam.

“Tangan serta kaki suspek kemudian diikat dengan tali dan dia dibelasah orang ramai hingga cedera,” katanya sambil menambah, suspek berusia 22 tahun berasal dari FELDA Ulu Jempol, Maran, mempunyai rekod jenayah dan dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes samun di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Katanya, polis kemudian berjaya menahan seorang lagi suspek.