Petaling Jaya: Polis menyiasat perhimpunan pakatan pembangkang di Stadium Kelana Jaya, di sini malam tadi mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PPA) 2012 dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, ketika dihubungi BH, berkata tindakan mengikut Seksyen 9(5) PPA berikutan kegagalan penganjur memaklumkan kepada polis 10 hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan di tempat awam, manakala tindakan kedua pula berhubung isi kandungan ceramah yang disampaikan dalam perhimpunan itu.
“Notis hanya dihantar beberapa jam sebelum perhimpunan berlangsung. Polis turut mengesan ucapan berbaur hasutan oleh beberapa pemimpin politik dalam perhimpunan itu. Kita sudah minta tangguh ke tarikh lain, namun mereka tetap berdegil, gagal mematuhi peraturan demi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Dalam ceramahnya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menghasut khalayak dengan melemparkan tuduhan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penipuan dan menafikan kemenangan pakatan itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ahad lalu.

Sambil mengumumkan perhimpunan seterusnya akan diadakan di Pulau Pinang, Sabtu ini, beliau turut menjaja isu lama serta mengulangi pelbagai dakyah dan tohmahan untuk dijadikan alasan kekalahan pakatan pimpinannya, sekali gus dilihat tidak mengiktiraf suara majoriti rakyat yang tetap memberi mandat kepada BN memerintah negara.

Tuduhan itu dilemparkan ketika badan pemantau proses PRU-13, Institut Hubungan Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS), Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS) serta Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) mengakui keputusan PRU Ahad lalu mempunyai kredibiliti, boleh dipercayai dan prosesnya dilaksanakan dengan baik oleh SPR berbanding PRU sebelum ini.

Perhimpunan turut menyebabkan laluan menghala dan dari Stadium Kelana Jaya sesak teruk sebelum dan selepas acara terutama Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP).