KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini berikutan tekanan jualan berterusan sejajar dengan prestasi bursa serantau lain, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.32 peratus atau 5.7 mata kepada 1,769.22 selepas dibuka 1.78 mata lebih tinggi kepada 1,776.7.
Indeks petunjuk pasaran itu berada antara 1,769.22 dan 1,780.98 sepanjang hari dagangan.


Bagaimanapun, suasana pasaran positif dengan 436 kaunter untung, 422 kaunter rugi, 265 kaunter tidak berubah dan 479 yang lain tidak diniagakan.

Jumlah dagangan berjumlah 2.22 bilion saham bernilai RM3.45 bilion daripada 1.17 bilion saham bernilai RM2.07 bilion semalam.

"Apabila kita melihat kembali, dalam masa beberapa minggu, sesi tidak berubah dalam tiga minggu lepas akan kelihatan seperti pembetulan teknikal baik bagi peningkatan lebih kukuh," kata Naib Presiden merangkap Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan.

Indeks-indeks utama Asia, termasuk Shanghai di China, Kospi di Korea Selatan dan Nikkei di Jepun melantun semula dengan kukuh daripada paras terendah sebelumnya, katanya.
Pasaran serantau meneruskan semula pemulihannya selepas data terbaharu AS meredakan kebimbangan terhadap program belian bon Rizab Persekutuan AS yang dikatakan akan ditamatkan lebih cepat daripada yang dijangkakan, katanya kepada Bernama.

Saham pengguna, BAT, yang susut 46 sen kepada RM63.54, menyeret turun indeks utama ke segmen negatif tetapi kenaikan dalam Public Bank dan UMW, yang meningkat 10 sen setiap satu masing-masing kepada RM16.96 dan RM14.42, mengehadkan penurunan.

Di papan skor, Indeks Kewangan turun 21.609 mata kepada 16,848.93, Indeks Perladangan susut 63.98 mata kepada 8,163.27 dan Indeks FBM Emas berkurangan 7.41 mata kepada 12,377.82.

Indeks Perusahaan menokok 1.48 mata kepada 3,018.01, Indeks FBM 70 naik 110.189 mata kepada 14,478.93 tetapi Indeks FBM ACE jatuh 20.47 mata kepada 4,712.95 dan FBMT100 berkurangan 8.87 mata kepada 12,129.27.

Di kalangan kaunter cergas, Luster Industries naik setengah sen kepada 21.5 sen, Astro meningkat lapan sen kepada RM3.23 dan Ingenco turun setengah sen kepada 15 sen.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank dan Axiata tidak berubah masing-masing pada RM10.18 dan RM6.75, manakala CIMB turun 14 sen kepada RM8.28.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.76 bilion saham bernilai RM3.37 bilion daripada 1.46 bilion saham bernilai RM2.0 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 391.35 juta saham bernilai RM74.09 juta daripada 260.02 juta saham bernilai RM55.78 juta.

Waran berjumlah 66.39 juta saham bernilai RM5.89 juta daripada 45.04 juta saham bernilai RM7.14 juta pada Khamis.

Barangan pengguna menyumbang 49.49 juta saham di Pasaran Utama, barangan perusahaan 541.45 juta, pembinaan 77.96 juta, perdagangan dan perkhidmatan 618.04 juta, teknologi 85.74 juta, prasarana 23.1 juta, kewangan 107.02 juta, hotel 723,800, hartanah 148.19 juta, perladangan 38.81 juta, perlombongan 517,400, REIT 11.85 juta dan dana tertutup 30.2 juta. - BERNAMA