Machang: Lembaga Tabung Haji (TH) akan menambah kuota jemaah sebanyak 600 orang tahun depan dengan memberi keutamaan kepada mereka yang menunaikan Rukun Islam kelima itu buat pertama kali.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata pihaknya kini berusaha menggunakan khidmat mereka yang bermastautin di Makkah sebagai petugas TH supaya kuota berkenaan dapat diberi kepada rakyat negara ini.
“Ini adalah antara usaha TH dalam memastikan rakyat dapat menunaikan haji, malah kita berharap mampu memperoleh pulangan setimpal supaya lebih ramai dapat mengerjakan haji,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah keluarga Allahyarham Shamsiah Yaacob, 59, di sini semalam.


Senarai menunggu 1 juta

Shamsiah meninggal dunia ketika perjalanan dari Tanaim ke Masjidil Haram untuk menunaikan umrah pada 28 September lalu.

Azeez yang turut disertai Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaacob, turut menyampaikan bantuan khairat kematian sumbangan TH kepada keluarga arwah.

Beliau berkata, penambahan kuota berkenaan berikutan senarai menunggu untuk mengerjakan haji kini mencecah hampir 1 juta orang bagi tempoh 49 tahun akan datang.
Sehingga kini kuota haji adalah sekitar 21,600 jemaah selepas 20 peratus jemaah terpaksa dikurangkan daripada jumlah asal iaitu 27,000 berikutan penambahbaikan di Masjidilharam.