Transformasi pengajian tinggi ubah landskap pendidikan negara Pembiayaan PTPTN membuka harapan baru kepada setiap anak bangsa yang mempunyai kelayakan minimum untuk masuk ke institusi pengajian tinggi.
Inisiatif menerusi dasar pendemokrasian pendidikan beri lebih ruang untuk lanjut pelajaran

Pada awal 1991, Perdana Menteri keempat, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (Tun) mengumumkan Wawasan 2020, iaitu satu perancangan jangka panjang menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Wawasan itu menyatakan dengan jelas hasrat negara agar menjelang 2020, Malaysia boleh menjadi negara yang bersatu dengan masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh.
Rakyat Malaysia juga akan menjadi masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur dan mempunyai penguasaan sepenuhnya dalam ekonomi yang bersaing, dinamik, giat, dan kental.
PTPTN pula menambah baik model operasinya melalui pelepasan pembayaran balik pinjaman bagi graduan cemerlang dan penurunan caj perkhidmatan. Skim simpanan yang menarik juga diperkenalkan dan disusuli dengan insentif untuk menabung seperti aspek pulangan dan pelepasan cukai”

Untuk itu pendidikan semestinya pelaburan yang sangat penting dalam menentukan hala tuju negara pada masa depan. Proses pendidikan adalah kaedah yang sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda, jiwa dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang baik serta lebih sempurna seperti yang dirancangkan.

Justeru, pendidikan seharusnya dimasyarakatkan menerusi satu perubahan yang luar biasa dalam pengajian tinggi negara. Walaupun, komitmen kerajaan untuk mewujudkan masyarakat dan generasi yang terpelajar terbukti sejak kemerdekaan negara lagi, namun satu transformasi yang melonjak sudah dilakukan selaras dengan hasrat Wawasan 2020.

Dapat pendidikan berkualiti

Menyedari pentingnya usaha untuk melebarkan akses pendidikan, falsafah pendemokrasian pendidikan tinggi diperkenalkan supaya semua lapisan masyarakat boleh mendapat pendidikan tinggi yang berkualiti. Pengajian tinggi tidak lagi bersifat elitis. Peluang pengajian tertiari harus terbuka untuk mereka yang mempunyai kelayakan minimum, daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah, keluarga di luar bandar dan pedalaman serta golongan minoriti, termasuk Orang Asli.
Persoalannya, adakah konsep pendemokrasian pendidikan yang diperkenalkan itu berupaya mewujudkan sistem pendidikan berkualiti tinggi dan bertaraf dunia? Adakah akses saja mencukupi? Bagaimana pula kemampuan pembiayaan? Bagaimana pula peranan universiti dalam memasyarakatkan pendidikan agar mereka yang sudah terlepas peluang pada satu masa dahulu masih dapat menikmati pendidikan sepanjang hayat mereka?

Justeru, dalam merealisasikan hasrat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pada masa itu adalah Menteri Pendidikan, merangka beberapa undang-undang dan dasar untuk dilaksanakan bagi mengupayakan pelaksanaan prinsip akses pendidikan negara.

Antaranya ialah penggubalan Akta Institusi Pendidikan Swasta 1996 (Akta 555). Hasil daripada akta itu dan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan untuk meningkatkan akses dan ekuiti pengajian tinggi, bilangan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Malaysia berkembang secara dinamik. Terdapat 37 universiti swasta, 20 kolej universiti swasta, tujuh kampus cawangan universiti luar negara dan 414 kolej swasta yang aktif menawarkan sijil dan diploma dalam pelbagai bidang.

Jumlah IPTS bertambah

Pertambahan jumlah IPTS di negara ini berjaya meliberalisasikan sektor pengajian tinggi negara dan membolehkan lebih banyak kolej, kolej universiti dan universiti swasta ditubuhkan bagi mengambil pelajar dari dalam dan luar negara serta mewujudkan suasana global. Ia juga berupaya melebarkan akses kepada pendidikan tertiari kepada rakyat dengan penubuhan IPTS sebagai alternatif kepada IPTA, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada IPTA semata-mata.

Kesannya, turut meningkatkan daya saing pengajian tinggi negara melalui tawaran kepada IPT luar negara untuk membuka kampus cawangan di Malaysia termasuk penyediaan ruang kepada IPTS untuk menawarkan bidang pengajian baharu yang tiada di IPTA serta menawarkan lebih tempat untuk bidang pengajian tertentu yang tidak dapat ditampung di IPTA.

Tindakan kedua ialah penggubalan Akta Lembaga Akreditasi Negara (Akta 556) sebagai satu undang-undang yang menubuhkan Lembaga Akreditasi Negara (LAN). Fungsi LAN ialah menetapkan piawai dan jaminan kualiti kursus pengajian, sijil, diploma dan ijazah; mengawalselia piawai dan kualiti kursus pengajian serta akreditasi sijil, diploma dan ijazah; menentukan aras pencapaian bahasa kebangsaan dan subjek wajib untuk melayakkan penganugerahan sijil, diploma dan ijazah oleh IPTS berdasarkan Akta 555.

Fungsi badan itu kemudian berkembang sebagai Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang menggabungkan LAN dengan Bahagian Jaminan Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi. MQA dipertanggungjawabkan untuk membangunkan rangka kerja kelayakan pengajian tinggi negara sebagai asas kawalan kualiti dan akreditasi program pengajian di IPTS termasuk IPTA selepas 2007.

Ketiga, ialah penggubalan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566) yang membentuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Dalam merealisasikan pengeluaran modal insan yang berkualiti, bilangan pelajar pengajian tinggi perlu ditingkatkan agar selari dengan keperluan negara. Maka penubuhan PTPTN melengkapkan ekosistem pengajian tinggi negara apabila pembiayaan pengajian terjamin untuk setiap anak bangsa yang mendapat tempat pengajian melalui akses yang diluaskan.

PTPTN buka harapan baru

Sekiranya dulu terdapat anak yang dinafikan hak pengajian disebabkan tiada keupayaan pembiayaan, PTPTN telah membuka harapan baharu kepada setiap anak bangsa yang mempunyai kelayakan minimum untuk masuk ke institusi pengajian tinggi.

Pembiayaan PTPTN meliputi yuran pengajian dan dana untuk perbelanjaan sara hidup sebagai seorang pelajar. Model pembiayaan PTPTN terbukti mampu merangsang pelajar untuk gigih, bertanggungjawab dan berakauntabiliti dalam konteks pengajian mereka. Kaedah pembiayaan itu juga memastikan kelestarian penawarannya untuk generasi mendatang serta adil dari segi tanggungjawab sosial.

Jelas bahawa gabungan akses, jaminan kualiti dan pembiayaan yang diwujudkan melalui perundangan dan dasar negara adalah satu transformasi yang telah mengubah landskap pengajian tinggi negara pada masa itu. Namun, ketiga-tiga inisiatif penting itu tidak terhenti di situ sahaja. Akses semakin diperluas, sama ada dari segi kuantiti, kualiti mahupun kepelbagaian.

Universiti teknikal, umpamanya, dibangunkan untuk menyokong pembangunan industri negara yang pesat. Universiti yang memfokus kepada penyelidikan juga diperkenalkan dan beberapa universiti lain yang berfokus juga terus melebarkan lagi akses dan pilihan. Kualiti pengajian tinggi di IPTA dan IPTS dijamin bukan sekadar melalui MQA, malah diurus melalui pelan strategi pengajian tinggi negara yang amat menyeluruh.

Tambah baik operasi PTPTN

PTPTN pula menambah baik model operasinya melalui pelepasan pembayaran balik pinjaman bagi graduan cemerlang dan penurunan caj perkhidmatan. Skim simpanan yang menarik juga diperkenalkan dan disusuli dengan insentif untuk menabung seperti aspek pulangan dan pelepasan cukai.

Transformasi pengajian tinggi yang mendahulukan kepentingan rakyat diteruskan dengan dasar sistem meritokrasi yang diperkenalkan pada 2002. Ia menggantikan sistem kuota bagi pemilihan calon yang layak ke IPTA. Ia membuka peluang sama rata kepada pelajar pelbagai kaum berdasarkan kemampuan pelajar yang dinilai dengan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum. Justeru, dasar ini memberi keutamaan akses ke IPTA kepada pelajar cemerlang.

Pembelajaran Sepanjang Hayat adalah antara teras untuk meningkatkan pendidikan masyarakat di Malaysia. Di sinilah universiti berperanan penting untuk memasyarakatkan pendidikan. Di Universiti Malaysia Pahang (UMP), umpamanya, Pusat Pengajian Berterusan & Pembangunan Profesional (CENFED) melaksanakan program latihan, latihan semula, pengajian berterusan kepada pihak industri, swasta, kumpulan profesional dan masyarakat kepada lebih 10,513 orang hingga kini.

Pelan strategi pengajian tinggi negara juga menggalakkan inisiatif universiti untuk terus melebarkan akses pendidikan sepanjang hayat. Agensi kerajaan lain pula mempunyai program yang membiayai penyertaan pelbagai lapisan masyarakat di dalam program di universiti.

Memasyarakatkan ilmu dan pendidikan juga membawa maksud masyarakat harus merasai kewujudan sesebuah universiti. Menyedari peranan dan tanggungjawab sesebuah universiti itu tidak terhad dalam menyalurkan ilmu kepada mahasiswa, UMP sebagai universiti berteraskan kejuruteraan dan teknologi melaksanakan program latihan kemahiran dalam membantu meningkatkan pembangunan modal insan di kalangan belia terutama di Kuala Pahang.

Dalam usaha ini, UMP bersama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melaksanakan program yang dinamakan Empower ECER Mahkota Kuala Pahang yang mensasarkan peningkatan kemahiran dan pendapatan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar. Adalah diharapkan penghasilan bidang kepakaran universiti boleh meningkatkan taraf hidup masyarakat dengan merangsang pertumbuhan ekonomi, khususnya kepada penduduk setempat.

Maka sebab itulah inisiatif khusus ditumpukan juga kepada pemindahan pengetahuan kepada masyarakat. Kerajaan, melalui Kementerian Pengajian Tinggi, memperuntukkan dana khas untuk usaha memindahkan pengetahuan daripada universiti awam kepada komuniti melalui projek khas.

Apa yang sudah dilakukan sehingga ini dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi jelas menunjukkan komitmen negara untuk menentukan tidak ada pihak yang dipinggirkan. Semua lapisan masyarakat harus merasai pembangunan negara melalui pendidikan kerana keterangkuman adalah elemen penting dalam model ekonomi baru negara yang akan membawa kita menuju Wawasan 2020.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang